KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan menamatkan penantian 61 tahun untuk muncul juara bola sepak Piala Malaysia selepas jaringan Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha Abdul Radzak membolehkannya menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Ia adalah kejuaraan untuk Negeri Sembilan selepas kali pertama memenanginya pada 1948 ketika kejohanan masih dikenali sebagai Piala HMS Malaya.
Keputusan itu sekali gus memanjangkan penantian Kelantan yang belum berjaya muncul juara biarpun selepas kemunculan semula di pentas perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun.
Malah ia juga adalah kehampaan kedua di final buat skuad negeri Cik Siti Wan Kembang itu selepas tewas pada aksi kemuncak Piala FA kepada Selangor, April lalu.
Di sebalik segala fokus kepada Kelantan menjelang perlawanan akhir itu, Negeri Sembilan memulakan perlawanan dengan lebih meyakinkan dan sudahpun menembusi pintu gol lawan seawal minit ke-18 menerusi rembatan deras Shahurain, menewaskan penjaga gol, Halim Napi.
Dua puluh saat selepas separuh masa kedua bermula, Negeri Sembilan menggandakan kelebihan apabila Hairuddin melepasi perangkap ofsaid Kelantan untuk menanduk cantik umpanan tinggi Zaquan tepat ke sasaran.
Negeri Sembilan kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit ke-58 selepas pertahanan Kelantan, Mohd Zamri Ramli, menjatuhkan Zaquan. Penyerang itu kemudiannya mudah merembat ke sebelah kiri gol untuk memperdaya Halim.
Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol sagu hati Kelantan apabila merembat cantik bola sepakan percuma pada minit-minit terakhir permainan.
Tonggak utama pertahanan Negeri Sembilan, Shukor Adan, melengkapkan malam gemilang pasukannya apabila dipilih sebagai penerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Hadiah kepada pasukan juara disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
0 ulasan