1.1 PENDAHULUAN

Perkahwinan itu adalah penting. Ia bukan sekadar galakan dalam hidup tetapi sunnah Rasulullah S.A.W. Jangankan wanita biasa, wanita solehah dan isteri-isteri nabi pun terasa sunyi tanpa lelaki. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan wanita akan resah dan kesepian. Kepada lelaki wanita memanggil ayahku, suamiku atau anakku. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki (Khairunnisa Ghazali 2000: 1). Begitulah Allah memulakan kehidupan seorang wanita yang bertujuan untuk melengkapi kehidupan di dunia ini bagi seorang lelaki.

Keadaan ini merupakan suatu fitrah semulajadi yang diciptakan oleh Allah untuk setiap hamba-Nya agar dapat mengekalkan umat manusia dan meramaikannya bagi mengatur urusan hidup di dunia ini. Ini dijelaskan oleh firman Allah:

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya, (isterinya-Hawa) dan juga yang membiakkan daripada keduanya-zuriat keturunan-lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.
(al-Nisa’ 4: 1)

Menurut ahli tafsir, bahawa diri yang satu adalah Adam a.s dan isterinya Hawa yang daripada keduanya berkembanglah semua manusia di atas dunia, baik yang hitam mahupun kulit putih. Tetapi menurut fahaman ayat ini iaitu daripada keduanya berkembanglah lelaki dan perempuan yang ramai (Mahmud Yunus 2007: 104).

1.2 PERMASALAHAN KAJIAN

Masalah lambat berkahwin di kalangan wanita berkerjaya di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana menyebabkan perkahwinan pada usia muda telah berkurangan. Sebagai bukti, pada tahun 1956 wanita yang berkahwin pada usia 15-19 tahun lebih kurang 97 peratus dan ia menurun 6 peratus pada tahun 1988. Peratus ini berkemungkinan akan terus menurun pada dekad ini kerana negara semakin maju dan kehidupan semakin canggih (jendelahikmah05.blokspot.com). Keadaan ini dapat dilihat melalui Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 dan statistik umur minimum perkahwinan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Pada tahun 1980, umur minimum bagi seorang wanita berkahwin ialah 23.5 tahun, telah meningkat pada tahun 1991 iaitu 24.7 tahun dan semakin meningkat lagi pada tahun 2000 iaitu 25 tahun (Banci Penduduk 2000 Jabatan Perangkaan Malaysia). Oleh itu seorang wanita yang sudah mencapai umur 27 tahun tetapi masih belum menemui jodoh akan dianggap sudah terlewat untuk berkahwin (Haslina Hassan & Ann Wan Seng 1995: 1).

Fenomena lambat berkahwin dalam kalangan wanita ini bertambah serius apabila mereka dilibatkan dalam pembangunan negara. Tahun Wanita Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1975 misalnya, telah membuka suatu lembaran baru kepada sejarah peranan wanita dalam pembangunan negara. Pengisytiharan tersebut mendorong kaum wanita mengambil tindakan yang dinamik dan tuntas dalam usaha meningkatkan taraf wanita (Rahmah Ismail & Zaini Mahbar 1996:13).

Menyentuh mengenai wanita lambat berkahwin, pelbagai andaian telah diberikan. Sesetengah masyarakat mengatakan, mereka lambat berkahwin disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah terlalu memilih, masih belum bersedia kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi dan belum dipertemukan jodoh. Antara golongan wanita yang lambat berkahwin ini adalah wanita-wanita yang berkerjaya, intelek dan mempunyai status yang tinggi seperti ketua di pejabat, pegawai eksekutif, peguam, doktor dan lain-lain. Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah, adakah latar belakang wanita tersebut yang menjadi faktor pendorong kepada mereka lambat berkahwin?

Dalam kajian ini, penulis berpendapat bahawa wanita yang lambat berkahwin boleh menimbulkan pelbagai masalah yang bukan sahaja melibatkan masalah peribadi, bahkan boleh menimbulkan masalah dalam masyarakat khususnya masyarakat Islam. Permasalahan tersebut perlu dicari dan cuba diselesaikan jika mampu. Justeru itu, kajian ini cuba menganalisis dan mengkaji strategi adaptasi dari sudut Islam yang patut diambil oleh wanita terlibat untuk mengatasi masalah tersebut.

1.3 SKOP DAN BATASAN KAJIAN

1.3.1 Persampelan kajian

Persampelan kajian dipilih dengan menggunakan kaedah ‘snowball sampling’, di mana penelitian kajian hanya dijalankan ke atas seramai 40 orang wanita yang dikenali, mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk kajian, dikenal pasti dan ditemubual. Sebanyak 80 borang telah diberikan kepada setiap bahagian lokasi yang dipilih iaitu sebanyak 20 borang setiap bahagian. Daripada 80 borang tersebut hanya 40 sahaja yang dikembalikan. Ini bermakna hanya seramai 40 orang responden telah terlibat dengan soal selidik ini. Mereka terdiri daripada kakitangan wanita yang berumur 27 tahun ke atas yang masih belum berkahwin dan berasal daripada pelbagai latar belakang umur, pendidikan, jawatan dan keluarga. Mereka terdiri daripada kalangan wanita yang berkerja yang berusia pada tahap umur 27 tahun ke atas dan tidak pernah berkahwin.

1.3.2 Lokasi Kajian

Tempat kajian ialah di empat Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia Putrajaya iaitu Bahagian Matrikulasi, Bahagian Pendidikan Guru, Bahagian Biasiswa dan Pusat Perkembangan Kurikulum. Rasionalnya kementerian ini dipilih, kerana kebiasaannya bidang pendidikan diterokai oleh kaum wanita. Pengalaman semasa berkhidmat dalam bidang pendidikan juga mendapati bahawa ramai dalam kakitangan wanita di tempat kajian yang masih belum berkahwin. Selain itu, sejarah menyaksikan bahawa, kementerian ini adalah satu-satunya kementerian yang pernah mempunyai pengarah wanita yang tidak berkahwin sehingga beliau bersara. Berdasarkan faktor-faktor tersebut, maka kajian ini dirasakan sesuai dijalankan di Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesuai dengan kedudukan lokasi sebagai pusat beroperasi secara umumnya, maka Putrajaya adalah sasarannya terutama empat buah jabatan yang dipilih. Walaupun kajian ini hanya tertumpu kepada wanita berkerjaya yang bertugas di Kementerian Pelajaran di Putrajaya dan tidak boleh menggambarkan keseluruhan wanita di Malaysia, namun hasil dapatannya cukup untuk memberikan gambaran yang umum tentang masalah tersebut.

1.3.3 Batasan Kajian

Kajian hanya ditumpukan kepada faktor-faktor yang menyebabkan wanita Melayu berkerjaya lambat berkahwin, masalah yang dihadapi dan cara penyelesaian masalah tersebut dari sudut Islam. Tempoh kajian dijalankan adalah sepanjang semester ke 2 pengajian sesi 2007/2008.

1.4 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ialah untuk:

a) Mengenal pasti faktor dan masalah wanita berkerjaya lambat berkahwin di Kementerian Pelajaran Malaysia.
b) Menganalisis faktor dan masalah wanita berkerjaya lambat berkahwin di Kementerian Pelajaran Malaysia.
c) Mengenengahkan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh wanita lambat berkahwin dari sudut Islam.

1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Secara umumnya, kajian ini bertujuan untuk memperkayakan khazanah ilmu dengan memberi gambaran kepada masyarakat terhadap masalah dan konflik jiwa yang dihadapi oleh wanita berkerjaya yang lambat berkahwin. Tanggapan negatif terhadap mereka harus dihentikan kerana jodoh pertemuan, rezeki, ajal dan maut itu telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Selain itu, kajian ini dianggap penting kerana tidak dijumpai kajian sebelum ini yang membincangkan secara khusus mengenai wanita berkerjaya lambat berkahwin di Kementerian Pelajaran Malaysia dari perspektif Islam. Jika adapun, kajian mengenainya dibuat secara umum sahaja. Sebagaimana kajian yang pernah dibuat oleh Haslina Hj Hassan dan Ann Wan Seng (1995) dalam buku mereka yang bertajuk Wanita dan perkahwinan, yang menyentuh mengenai konsep andartu, yang dibuat berdasarkan pernyataan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis pada tahun 1992, yang mendapati bahawa seramai 60,000 wanita Islam belum berkahwin. Walaupun penulis buku ini cuba menyatakan jalan penyelesaian terhadap fenomena tersebut, tetapi ia masih tidak dapat mengatasi permasalahan yang berlaku, kerana penulisan tersebut lebih kepada tips mencari jodoh secara umum. Melalui kajian ini, kelemahan tersebut dapat diperbaiki melalui penyelesaian yang cuba diperincikan berdasarkan pandangan Islam dari segi pendidikan jiwa. Jiwa wanita terlibat yang dalam keadaan dilema perlu dibajai dengan benih iman. Oleh itu kajian ini cuba menggarapkan beberapa cara penyelesaian masalah dari perspektif Islam dengan membawa pembaca kepada Islam sebagai jalan penyelesaian jika menghadapi sebarang masalah.

1.6 METODOLOGI KAJIAN

Metodologi yang digunakan di dalam kajian ini dibahagikan kepada dua cara iaitu:

1.6.1 Kajian Kepustakaan

Melalui kajian ini, bahan-bahan sekunder yang berkaitan dengan wanita berkerjaya lambat berkahwin diperolehi melalui dokumen-dokumen bertulis seperti tesis-tesis, buku-buku dan jurnal-jurnal yang berkaitan. Selain itu, sumber sekunder ini juga merujuk kepada bahan-bahan yang diperolehi melalui internet, majalah-majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan lain.

Sebahagian besar data dikumpul dari pelbagai perpustakaan seperti Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM, Perpustakaan Fakulti Islam UKM dan Perpustakaan Zaaba UM, Kuala Lumpur. Kesemua data yang dikumpul digunakan untuk memenuhi keperluan objektif kajian serta menjadi sumber untuk mengukuhkan perbincangan hasil kajian yang diperolehi daripada analisis soal selidik.

1.6.2 Kajian Lapangan

Kajian Lapangan akan melibatkan pencarian data-data primer. Dalam kajian lapangan, penulis telah memilih kaedah kuantitatif deskriptif dengan menggunakan instrumen soal selidik, temubual dan pemerhatian sebagai pengukur.
a) Soal selidik

Soal selidik digunakan untuk mengukur dan mendapatkan maklumat latar belakang dan persepsi responden secara langsung. Melalui kaedah ini, penulis menemui responden secara interpersonal di tempat kerja mereka. Sehubungan itu penulis telah menyediakan sebanyak 80 borang soal selidik. Borang soal selidik digunakan sebagai instrumen dan diberikan kepada responden di lokasi kajian. Borang tersebut mengandungi 45 soalan yang bersifat tertutup dan terbuka. Ia dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu: Bahagian A maklumat peribadi atau biodata responden, Bahagian B faktor-faktor lambat berkahwin dan Bahagian C mengenai masalah atau tekanan yang dihadapi oleh responden akibat lambat berkahwin. Semua data yang diperolehi daripada soal selidik akan dianalisis menggunakan pakej Statistik untuk Sains Sosial Versi 12.0 (SPSS Version 12.0). Analisis akan dihuraikan dalam bentuk peratusan, carta dan jadual.

b) Temu bual

Metod ini digunakan untuk mendapatkan maklumat berbentuk pandangan daripada responden. Temubual adalah suatu kaedah secara langsung untuk mendapatkan maklumat berbentuk pandangan daripada responden. Dalam konteks ini berlaku hubungan dua hala atau face to face antara pengkaji dengan responden (Ahmad Sunawari Long 2006: 62). Beberapa orang individu yang terdiri daripada responden sendiri dan beberapa orang kaunselor ditemubual untuk mendapatkan maklumat dan pandangan mengenai cara penyelesaian masalah yang dihadapi oleh wanita yang lambat berkahwin. Melalui temubual ini secara tidak langsung memudahkan penulis untuk mendapatkan gambaran awal tentang masalah yang dihadapi oleh responden. Keadaan ini juga membolehkan penulis membuat kesimpulan tentang masalah yang dihadapi oleh responden melalui perbandingan jawapan soal selidik ke atas responden dengan jawapan temubual tersebut.

a) Pemerhatian

Pemerhatian atau observasi adalah suatu kaedah pemerhatian secara langsung, sama ada secara terkawal atau tidak terhadap tingkah laku atau tindakan fizikal responden. Teknik ini digunakan untuk memerhati pelbagai fenomena seperti tindakan fizikal, tingkah laku verbal dan gambaran zahir (Ahmad Sunawari Long 2006: 52). Penulis menemui sendiri responden di tempat kerja untuk mendapatkan maklumat. Apatah lagi responden adalah kumpulan yang tidak asing bagi penulis kerana penulis kerap berurusan dengan agensi yang dipilih dalam kajian ini. Kekerapan dan pengalaman ketika berurusan memberi peluang kepada penulis untuk membuat kesimpulan dan tafsiran dengan tepat serta meneroka isu secara mendalam.

1.7 KAJIAN LEPAS

Untuk mendapatkan gambaran awal kajian, penulis telah membuat pengkajian terhadap beberapa penulisan terdahulu yang berkaitan dengan tajuk kajian yang dipilih. Secara rawaknya penulis telah menjumpai beberapa buah buku, tesis, kertas kerja seminar dan artikel yang sedikit sebanyak menyentuh tentang tajuk secara tidak langsung.

Haslina Hj Hassan & Ann Wan Seng (1995) dalam buku mereka Wanita dan perkahwinan, menyentuh tentang konsep andartu, yang dibuat berdasarkan kajian yang bertitik tolak daripada pernyataan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis pada tahun 1992, bahawa 60,000 wanita Islam belum berkahwin. Buku ini membincangkan tentang beberapa aspek kehidupan yang menyebabkan wanita lewat berkahwin. Di samping itu, buku ini juga turut menyatakan tanggapan dan pemahaman masyarakat terhadap fenomena tersebut. Daripada buku tersebut, didapati bahawa masyarakat telah memberikan persepsi yang buruk terhadap wanita yang lambat berkahwin. Wanita tersebut telah dengan terang-terang dilabelkan sebagai andartu, yang boleh menimbulkan konflik jiwa kepada mereka. Walaupun penulis cuba menyatakan jalan penyelesaian terhadap fenomena tersebut, tetapi masih tidak dapat mengubati hati dan perasaan mereka kerana lebih kepada tips mencari jodoh secara umum. Melalui kajian ini, kelemahan tersebut dapat diperbaiki melalui penyelesaian yang cuba diperincikan berdasarkan pandangan Islam dari segi pendidikan jiwa. Jiwa wanita terlibat yang dalam keadaan dilema perlu dibajai dengan benih iman. Oleh itu kajian ini juga menggarapkan beberapa cara penyelesaian masalah dari perspektif Islam dengan membawa pembaca kepada agama Islam sebagai jalan penyelesaian.

Fauziah Mohamed (1996) dalam bukunya yang berjudul Andartu: Penyelesaian menurut pandangan Islam, menyebut tentang perkahwinan masa kini yang seolah-olah suatu perkara yang membebankan sehingga menyebabkan masalah andartu. Menurut penulis, hal ini berlaku apabila pelaksanaan perkahwinan itu sendiri yang tidak mengikut panduan syariat Islam. Budaya belanja kahwin sampai beribu ringgit, mementingkan status, pendidikan, harta, pangkat dan darjat bakal menantu menyebabkan kaum lelaki berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Oleh itu, penulis telah menghuraikan secara terperinci kaedah dan cara untuk setidak-tidaknya mengurangkan masalah andartu dan perkara yang berkaitan dengannya. Akan tetapi, jika dilihat cara penyelesaian yang dihuraikan dalam buku ini adalah lebih difokuskan kepada galakan perkahwinan sahaja. Walaupun buku ini tidak langsung menyentuh soal jiwa wanita terlibat tetapi ia banyak membantu kejayaan kajian ini dari segi penyelesaian masalah lambat berkahwin itu sendiri. Buku ini telah menerbitkan banyak idea tentang bagaimana cara menyelesaikan masalah seorang wanita yang lambat berkahwin.

Nik Safiah Karim (1982) dalam bukunya yang berjudul Wanita Malaysia menyebut tentang wanita Malaysia masa kini. Lima puluh tahun dahulu tempat wanita ialah di dapur. Mereka tidak dihantar ke sekolah dan jarang dilibatkan dalam membuat keputusan asas. Kini, keadaan ini telah berubah dengan adanya keterbukaan peluang untuk mendapatkan pelajaran dan kebebasan memberikan pendapat ke arah pembangunan negara. Penyertaan kaum wanita dalam arus pembangunan negara dapat dilihat dengan jelas dalam semua aspek kehidupan seperti pelajaran, politik, kesihatan, keselamatan dan lain-lain. Oleh itu, dalam buku ini terdapat kumpulan karangan yang cuba memberikan gambaran tentang wanita di Malaysia hari ini. Karangan-karangan tersebut adalah merupakan kertas kerja dan ceramah-ceramah yang telah disampaikan dalam jangka masa 13 tahun iaitu dari tahun 1968 hingga 1981. Ada di antara karangan tersebut menyentuh tentang kehidupan wanita dari soal latar belakang dan kedudukan sehinggalah kepada soal-soal mengenai pelajaran, kepimpinan, hak dan tanggungjawab dan sebagainya. Dapatan daripada penulisan buku ini, sangat memberikan impak kepada kejayaan penulisan disertasi ini. Kajian ini cuba menggabungkan intipati yang ada dalam buku tersebut dengan pengetahuan sedia ada dan pengalaman kaji selidik melalui responden yang terpilih

Andek Masnah Andek Kelawa (2001), dalam bukunya yang bertajuk Kepimpinan wanita dalam Islam, kedudukannya dalam Syariah, menceritakan tentang penglibatan wanita Melayu khususnya dalam pembangunan masyarakat. Kajian akan menjadikan buku ini sebagai panduan dalam menyatakan syarat-syarat penglibatan wanita Islam dalam kerjaya dari segi hukum syarak. Buku ini juga ada menggariskan tentang hak wanita berbanding hak lelaki. Walaupun Islam telah mengiktiraf wanita sebagai manusia dinamik, memiliki kemuliaan, keahlian dan kemanusiaan sama seperti lelaki namun tidaklah sampai melebihi hak lelaki. Penulisan buku ini telah banyak mencetuskan idea tentang wanita dalam penyediaan disertasi ini.

Khairunnisa Ghazali (2002) dalam bukunya yang bertajuk Hikmah kejadian wanita menceritakan tentang hikmah kejadian wanita dan hikmah perbezaannya dengan kejadian lelaki. Allah menjadikan sesuatu itu penuh dengan hikmah dan rahsia tertentu yang manusia sendiri tidak tahu. Dalam buku ini penulis menghuraikan tentang hikmah tersebut di mana Allah menjadikan wanita itu sesuai dengan fitrahnya yang semulajadi iaitu lemah lembut, menyayangi dan ingin disayangi. Walaupun penulis buku ini banyak menceritakan tentang keistimewaan wanita tetapi hanya wanita yang telah berkahwin. Penulis buku ini menggambarkan seolah-olah wanita yang belum berkahwin langsung tidak layak untuk menerima keistimewaan tersebut. Daripada kekurangan tersebut, kajian disertasi cuba menggabungkan keistimewaan tersebut dengan wanita yang belum atau lambat berkahwin. Kajian ini cuba membetulkan fakta tersebut agar masyarakat tidak memandang serong atau memberikan persepsi yang negatif terhadap wanita yang belum dan lambat berkahwin.

Tidak semestinya keistimewaan tersebut hanya dimiliki oleh seorang wanita yang telah bergelar isteri sahaja, wanita yang belum berkahwin pun berhak mendapatkannya. Sesuai dengan agama Islam itu sebagai agama yang universal lagi adil, tidak pernah membezakan seseorang melalui status yang dimiliki. Islam memandang semua manusia itu sama sahaja kecuali yang membezakannya adalah iman dan takwa, bukannya isteri, janda, balu atau andartu.

Baterah Alias & Che Zarrina Sa’ari (2006) melalui buku mereka Islam dan emansipasi wanita membincangkan tentang kebebasan wanita secara lebih mendalam. Sememangnya buku ini banyak membincangkan tentang wanita tetapi hanya lebih kepada perkara yang berkaitan dengan hak. Begitu juga, walaupun buku ini ditulis berdasarkan latar belakang masalah wanita dengan isu pembebasan dalam pelbagai bidang yang hanya memfokuskan kepada gerakan feminisme menuntut hak sama rata dengan lelaki, tetapi ia banyak membantu penulis kajian mencari idea baru yang boleh digunakan bagi memperbaiki status wanita dalam masyarakat. Melalui buku ini juga, dapat difikirkan bagaimana mengembangkan usaha untuk memperbetulkan tanggapan wanita intelek yang menentang beberapa perkara berkaitan dengan hukum Allah.

Rozi Bainon (1999) dalam bukunya Wanita, penghapusan diskriminasi dari perspektif Islam dan Undang-undang Malaysia mengkaji tentang wanita menurut Islam dan Undang-undang Malaysia. Buku ini lebih memfokuskan kepada diskriminasi terhadap wanita. Perbincangan isu dalam buku ini tidak menyentuh langsung tentang hak dan kedudukan wanita. Melihat kepada hal ini, penulis kajian merasa perlu kajian ini ditulis bagi membahaskan kedudukan dan hak wanita menurut pandangan Islam. Wanita itu bukan lagi barang dagangan dan pemuas hawa nafsu seperti sebelum kedatangan Islam. Wanita juga ada haknya dan untuk memahami hak tersebut di samping mengenali mereka, kajian ini perlu dilakukan.

Jawiah Dakir (1996) dalam jurnalnya yang berjudul Asas pembentukan keluarga menurut perspektif al-Quran dan al-Sunnah, menyentuh tentang asas pembentukan keluarga sebelum perkahwinan. Beliau membincangkan tentang anjuran Islam supaya mengenalpasti sifat fizikal dalam memilih pasangan. Beberapa saranan terhadap tips mencari jodoh menurut perspektif Islam telah dihuraikan. Penulisan jurnal ini memberikan gambaran kepada penulis kajian dalam mengemukakan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh wanita Melayu berkerjaya lambat berkahwin. Jurnal ini juga telah membolehkan penulis kajian mendapatkan maklumat tentang hikmah sebuah perkahwinan dalam Islam dan seterusnya mengaitkan dengan bagaimana cara penyelesaian masalah yang dihadapi oleh golongan wanita lambat kahwin melalui pendidikan jiwa Islam.

Afifah Eskanin (2004) dalam kajiannya yang bertajuk Penglibatan wanita Islam di dalam tenaga kerja di Daerah Johor Bahru dan Batu Pahat: Permasalahan dan kesannya membicarakan tentang situasi yang membolehkan wanita berkerja, syarat serta nafkah isteri berkerja menurut perspektif Islam. Penulis juga cuma membincangkan tentang peranan wanita Islam dalam sektor pekerjaan di Malaysia dan permasalahan yang dihadapi oleh wanita yang berkerja. Antara permasalahan yang dikemukakan tidak ada satu pun yang membincangkan tentang masalah wanita lambat berkahwin yang boleh memberi kesan terhadap kerjaya. Namun begitu, melalui pemerhatian yang dibuat, wanita lambat berkahwin juga menghadapi masalah dalam kerjaya. Oleh yang demikian, kajian ini cuba memuatkan tentang wanita yang berkerjaya, sebenarnya bukan sahaja menghadapi masalah dalam kerjaya tersebut, tetapi juga masalah yang lahir dalam diri wanita itu sendiri kesan daripada lambat berkahwin.

Sharifah Khadijah Syed Abu Bakar (2002), dalam tesisnya yang bertajuk Kedudukan wanita menurut Fiqh dan Undang-undang Malaysia, membahaskan mengenai kedudukan wanita dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk kekeluargaan, sosial dan politik. Tidak ketinggalan juga penulis telah menceritakan tentang kejadian wanita menurut al-Quran dan memberikan gambaran yang jelas tentang peranan wanita itu sendiri. Melalui penulisan ini, kajian ini telah mendapati bahawa betapa wanita itu dimuliakan dan mereka mempunyai peranan yang cukup besar dalam pembangunan insan. Oleh itu penulisan tersebut banyak membantu dalam kajian disertasi ini khususnya berkenaan dengan konsep wanita dalam Islam.

Siti Rohana Mat Saari (1993) dalam projek ilmiahnya yang bertajuk Kahwin lambat: Budaya generasi kini, punca permasalahan dan implikasinya, jalan penyelesaian menurut perspektif Islam menyentuh tentang isu dan implikasi wanita yang lambat berkahwin. Dua punca terbesar wanita lambat berkahwin iaitu faktor dalaman seperti terlalu memilih, tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya manakala faktor luaran seperti pendidikan, ekonomi dan kebebasan. Penulis juga ada membincangkan tentang implikasi lambat berkahwin dari semua sudut termasuk kesihatan, agama, sosial dan psikologi. Dalam penulisan projek ilmiah ini hanya diutarakan jalan penyelesaian terhadap masalah berkahwin lambat bukan penyelesaian masalah yang dihadapi disebabkan oleh berkahwin lambat. Justeru itulah, melalui kajian disertasi ini penulis kajian cuba menganalisis masalah yang dihadapi oleh wanita terlibat dan mengenengahkan jalan ke arah penyelesaiannya melalui pendidikan jiwa Islam.

Selain dari itu, Hidayatul Faizeen Mat Ghani (2005) dalam kajiannya yang bertajuk Punca wanita berkerjaya kahwin lambat dan implikasinya menceritakan tentang punca-punca lambat kahwin seperti terlalu memilih, faktor pendidikan dan kerjaya, menyerah kepada takdir tanpa berusaha, tiada persediaan dan mahar terlalu tinggi. Beliau juga hanya membincangkan implikasi terhadap wanita yang lambat berkahwin seperti tahap kesuburan dan tahap seks menurun, psikologi, kesan kepada bayi dan masyarakat. Dalam kajian tersebut beliau langsung tidak menyebutkan tentang bagaimana cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh wanita yang lambat berkahwin. Melalui kajian disertasi ini diharapkan dapat memantapkan lagi kajian tersebut yang dilihat dari dua sudut iaitu sudut sains dan Islam.



1.8 KESIMPULAN

Kesimpulannya, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah wanita berkerjaya yang lambat berkahwin dan cara mengatasinya dari sudut Islam. Wanita berkahwin lambat atau tidak berkahwin langsung bukan lagi perkara baru dalam masyarakat kita. Wanita adalah tiang negara, bila ia baik, maka baiklah negara dan bila ia rosak, maka rosak pula negara. Sikap sesetengah orang dan masyarakat yang melabelkan wanita yang lanjut usia, tetapi masih bujang dengan pelbagai ungkapan seperti andartu (anak dara tua) dan andalusia (anak dara lanjut usia), di samping cemuhan lain, yang boleh membebankan minda dan jiwa mereka, hendaklah diberhentikan. Masyarakat hendaklah prihatin dengan nasib golongan ini. Golongan ini perlu dibantu dan dibimbing dengan mencari suatu jalan penyelesaian agar masalah yang dihadapi tidak berterusan selaras dengan perkembangan zaman dan cara hidup masa kini.

Dicatat oleh ANN Isnin, 26 Oktober 2009

3 ulasan

  1. abiumar Says:
  2. Tahniah akak... Saya bilalah agaknya. Suka tengok orang belajar. Sendiri malas. Hehehe. Akak doakan lah ye.

     
  3. ANN Says:
  4. Terima kasih. Insyaallah, smg Allah perkenankan impiananmu, Jim.

     
  5. safi Says:
  6. Tahniah di atas kajian puan...apapun, kita hendaklah berbaik sangka dengan Allah kerana ajal maut,jodoh pertemuan di tangan Allah jua.

     

Catat Ulasan

Subscribe here